Sunday, December 26, 2010

kEtIgA......






Imran berlari-lari anak menuju ke kolej kediaman. Bas tidak berhenti betul-betul di hadapan perhentian bas. Hujan turun agak deras petang itu. Jarak kolej kediaman dengan kawasan perhentian bas lebih kurang 200 meter dan imran bernasib baik kerana duduk di kolej kediaman yang paling hampir dengan perhentian bas. 


Baju Imran basah kuyup setibanya di biliknya. Dilihatnya Jefry rakan sebiliknya sedang tidur. Nyenyak dia tidur berselimut tebal dalam suasana hujan. Dua lagi rakan sebiliknya tidak kelihatan. Imran segera melucutkan pakaiannya. Dia lihat badannya di cermin besar yang tergantung di pintu almari pakaian. 

“Boleh tahan.” Imran tergelak sendirian. Dicapainya tuala untuk segera ke bilik mandi. Imran ingat pesan ibu, kalau terkena hujan cepat-cepat basuh kepala. Nanti demam. Sebelum menuju ke bilik mandi, Imran sekali lagi melihat cermin.

“Makan hati orang tengok badan aku ni. Lawa der,” Imran tersenyum sendiri dengan perbuatannya. Segera dia menuju ke bilik mandi. 

Imran merasakan kesegaran setelah selesai mandi. Segera dia menunaikan solat Asar yang masih bersisa 30 minit sebelum masuk waktu solat maghrib. Imran sebenarnya agak ralat menghadiri kelas waktu petang. Biasanya dia akan tunggu waktu maghrib sebelum balik ke kolej kediaman. Hari ini, dia memilih untuk segera pulang kerana ingin berehat di waktu hujan dan berselimut tebal di waktu dingin musim hujan. 

Imran membuka luas tingkap lalu merebahkan badan di atas katil. Ada suasana nyaman hasil angin dingin  yang bertiup tika hujan mula turun renyai-renyai. Kalau boleh dia mahu sahaja mengira bilangan manik-manik hujan yang turun. Imran mencapai telefon bimbit Motorolanya dan menulis pesanan ringkas.

# Salam, sihat?buat pew? 

Satu pesanan ringkas diberikan kepada Azaliana Natasya. Rindunya pada gadis itu sangat membuak-buak. Telefonnya berbunyi menandakan ada pesanan ringkas yang masuk.

# Salam. Saya sihat je. Baru habis kelas ni.

Azaliana membalas smsnya. Imran tersenyum girang.

# Boleh tak saya call awak?

Imran bertanya. Rindu rasanya terhadap suara gadis pujaannya itu. Sudah beberapa bulan dia tidak berbual melalui telefon. Semenjak Azaliana kembali sakit, pesanan ringkas pun sudah jarang dikirim kepadanya. Azliana mengatakan dia menghidapi penyakit Sciatica. Ia merupakan satu set simptom termasuk kesakitan yang mungkin disebabkan oleh mampatan umum atau perengsaan satu atau lebih dari lima saraf spina. Mereka yang menghidapi penyakit ini akan merasakan sakit pada bawah belakang, punggung, ataupun pada seluruh bahagian kaki. 

Mendengar penerangan dari sang gadis, Imran merasa cukup sedih. Beberapa bulan yang lalu melalui perbualan telefon, Imran menangis tersedu-sedu mengenang nasib kekasih hatinya. Azaliana cuba menghibur hati Imran dengan menyatakan semuanya akan baik seperti sedia kala. Sayang sungguh Imran padanya.

# Malam nanti k. Nanti saya text awak [Azaliana]

Imran menghela nafas berat. Azaliana sudahberubah. Azan maghrib sudah kedengaran. Imran segera bangkit dan menunaikan solat maghrib.

…………………………………………………………………………………………………………………..

Imran                    : Assalamualaikum. Hello B.
Azaliana               : Waalaikumsalam. Apa khabar?
Imran                    : sepatutnya saya yang tanya khabar awak.

Imran tersenyum kelat. Sejuk hatinya mendengar suara kekasih hati pengarang jantung yang jauh di mata itu. 

Azaliana               : Ok je. Saya sihat. Tak dengar ek suara saya dah cun macam dulu.

Azaliana cuba untuk bergurau. Dia ketawa di hujung talian sana. Imran tersenyum bahagia. Dilihatnya bintang yang berkelipan. Cuma beberapa butir bintang di langit lepas yang berkelipan. Mungkin sebab hujan sebentar tadi. 

Imran                    : B, awak buat-buat ok je ni kan. Saya tahu apa yang awak tanggung.
Azaliana                : Awak ni. Ok je lah. Jangan risau ok.
Imran                    : Mau tak risau. 

Imran menghela nafas berat. Allah sahaja tahu bertapa dia sering berdoa agar Azaliana kembali sihat dan menjalani kehidupan seperti sebelumnya. Seorang yang aktif dan cukup ceria. 

Azaliana               : Study awak macam mana? Is it ok?
Imran                    : Ok je. Tak lama lagi exam kan, so agak stressful.
Azaliana               : Alah, awak kan pandai. Mesti ok punya lah. Good luck untuk awak ek. 

Imran tergelak kecil. Susana agak sejuk setelah hujan. Beberapa ekor nyamuk cuba untuk membuat serangan padanya. Di gerak-gerakkan kakinya sedikit ke kiri dank e kanan untuk menghalau nyamuk. Suasana sunyi seketika. 

Azaliana               : Awak, saya nak cakap sesuatu.
Imran                    : Cakap apa sayang?
Azaliana               : Saya tak tahu sama ada lepas ni saya akan berada di Malaysia lagi.

Imran mengerutkan dahi. 

Imran                    : Maksud awak?
Azaliana               : Sebenarnya ayah saya dapat offer untuk bekerja di luar Negara. Dia dapat offer dekat
      Jordan.
Imran                    : ok. So?
Azaliana               : Maybe ayah akan pergi dengan mak dan adik saya. Ayah kata nak bawa saya sekali
   untuk sambung belajar dekat sana.  

Imran terdiam. Bertambah susah lah dia untuk bertemu dengan Azaliana. Mungkin juga dia perlu mengambil masa yang terlalu lama untuk bersua muka. Atau mungkin tidak ada harapan langsung untuk bertemu.

Azaliana                : Kenapa senyap?
Imran                    : susah hati. Entah apa nasib perhubungan kita. Bertambah jauhlah awak dari saya kan.
                              Bertambah susah nak contact awak kalau dah pindah ke Jordan.
Azaliana               : Kita cuba yang terbaik ya. InsyaAllah kalau ada jodoh, kita akan bertemu juga.

Imran mengeluh panjang. Di perasan sesuatu yang berbeza. Azaliana Natasya tidak memanggil nama manjanya malam ini. Setelaah talian dimatikan, Imran mencapai sebatang rokok dan menyalakan api. Dihembusnya asap rokok seraya keluhan yang berat. Dipandangnya langit yang hitam pekat. Bintang tidak kelihatan langsung. Mungkin mala mini akan hujan lagi. Imran membuang punting rokoknya dan segera masuk ke bilik.

Imran berkumur dan segera menunaikan solat isya. Dia segera memberikan pesanan ringkas kepada Adian untuk mengajaknya makan malam. Dalam doanya dia memohon agar di permudahkan jalan hidupnya. sedikit air matanya jatuh tika memohon doa pada Yang Esa.

Tuesday, December 21, 2010

kEdUa....




Ceramah yang dianjurkan oleh Exco Kerohanian dan Sahsiah ini agak menarik minat Imran. Ceramah berkenaan kepentingan sistem kekeluargaan. 

“Keluarga merupakan permulaan wujudnya sesebuah masyarakat. Kerana itu, kita seharusnya memperkukuhkan keharmonian keluarga agar apabila setiap inti dalam keluarga yang akan masuk dalam kelompok masyarakat boleh mewujudkan keharmonian dalam masyarakat. Saya amat berharap agar setiap dari kita yang hadir pada hari ini dapat mencerap dengan baik kata-kata sebentar tadi.” Imran Cuma mengangguk-anggukkan kepala tanda faham. Dilihatnya Adian sibuk melayan pesanan ringkas di telefon bimbitnya. Dilukunya kepala Adian membuatkan rakan baiknya itu tersentak. Adian tersenyum, faham dengan tindakan Imran yang menegur sikapnya. 

“Awek aku beb.” Adian memberitahu Imran walaupun tidak ditanya. Imran hanya mengangkat sebelah keningnya memberikan reaksi sinis pada Adian. Tumpuannya kembali kepada penceramah jemputan yang masih menerangkan sesuatu di atas pentas. 

Keharmonian keluarga. Imran teringat keluarganya di rumah. Keluarga yang lengkap dengan etika kekeluargaan itu cukup dikagumi masyarakat setempat. Ayahnya bekerja sebagai pegawai di Pejabat pendidikan dan merupakan bekas guru agama sememangnya cukup disegani. Dengan seorang ibu yang cukup perihatin, seorang abang yang bijak dalam pelajaran serta seorang kakak yang cukup tabah mengharungi pahit getir hidup. Imran merupakan anak bongsu dari tiga beradik. Anak bongsu yang sering dikatakan manja oleh sesiapa sahaja. Manja? Imran tidak rasa dirinya manja pada sesiapa pun. Malah dia sering berkeras andai ada sesiapa yang mengatakan dia anak bongsu yang manja. Hakikatnya Imran seorang yang cukup berdikari. Selalu berpegang pada prinsipnya yang tersendiri. Prinsip yang kadang-kadang goyah tatkala dia menghadapi hari-hari sukar.

Keharmonian keluarganya yang dilihat oleh orang luar sebenarnya tidak 100 peratus dirasakan Imran. Dia merupakan seorang anak yang suka menyendiri apabila berada di rumah. Dia selalu melakukan halnya tanpa mahu mengambil peranan terhadap perkara-perkara yang berlaku di rumah, kecuali mendapat arahan.  
Imran mempunyai pola kehidupan yang berbeza kekita berada di rumah. Pergaulannya ketika bersama rakan-rakan ataupun masyakarakat lain cukup berbeza dengan perilakunya di rumah. Di rumah, Imran seorang yang cukup pendiam.  Dia tidak gemar berbual kecuali ditanyakan soalan. Dulu dia tidak seperti ini. Dulu dia merupakan anak yang cukup ceria dan menyenangkan. Dia merupakan seorang adik yang suka menyakat abang dan kakaknya. Sehinggalah beberapa peristiwa berlaku menyebabkan dia semakin berubah. 

*kisah kakak

Seperti biasa, setiap kali cuti semester yang panjang Niala Kamalia akan menghabiskan masa di rumah. Menunggu tibanya semester baru menyebabkan Niala cukup malas untuk berfikir tentang kampus. Andai kata boleh dia mengambil cuti panjang , sudah pasti dia akan berada lebih lama di kampung. Memikirkan kuliah dan tugasan yang bertimbun membuatkan dia selalu pening  kepala. Niala melirik jam yang tergantung tinggi di dinding rumah. Sudah menunjukkan pukul 4.00 petang. Adik bongsunya Imran masih belum kelihatan. 

Hampir setiap hari dilihatnya Imran balik lewat dari sekolah. Tiba di rumah, berehat sebentar dan tidur setelah selesai solat maghrib sementara menunggu waktu solat isya. Itulah sikap Imran yang dilihatnya semenjak dua menjak ini. Dia kurang pasti apa yang menyebabkan adiknya selalu pulang lewat ke rumah dan kelihatan cukup letih. 

Imran sampai di rumah lebih kurang pukul 5.30 petang. Sampai sahaja di rumah dia melepaskan beg sandangnya dan melucutkan pakaian sekolah lalu menuju ke bilik mandi. Di lihat kakaknya sedang sibuk menyediakan makan malam bersama ibu. Sempat dia melihat kakaknya melirik padanya.
Selesai menunaikan solat maghrib, Imran merebahkan diri. Dirasanya badan pegal-pegal. Otak dan minda yang penat berada di sekolah menyebabkan rasa penat itu mengalir ke seluruh tubuhnya. Dipejamkan mata buat seketika. Ada rasa lega menyerap ketubuh. Belum cukup lima minit matanya terpejam, tubuhnya digoyang perlahan dan seperti ada suara memanggil dekat ke telinganya. Imran membuka matanya perlahan dan kelihatan kakaknya Niala duduk betul-betul berhampiran kepalanya. 

“kenapa kak? Dah masuk isya kah?” Imran bertanya dengan suara yang agak lemah.

“Belum lagi. Bangun kejap, kakak nak cakap sikit ni.” Niala memandang Imran dengan pandangan yang simpati. Dilihat adik kesayangannya itu kelihatan letih. Imran bangun dengan malas. 

“kau ni kenapa sebenarnya. Kakak tengok setiap hari kau balik lewat. Lepas tu, balik rumah dengan keadaan letih macam ni.” Niala memulakan bicara. 

“Sibuk sikit lah kak di sekolah. Banyak kerja nak buat. Dengan aktiviti itu ini lagi.” Imran memberi penerangan dengan agak malas. 

“Sibuk apa engkau?  Kau ikut aktiviti apa sekarang?” Niala bertanya lagi. 

“Sebenarnya, Im jadi ketua pengawas library sekarang. So, Im busy sikit dengan urusan perpustakaan. Buat pemantauan buku dan uruskan beberapa perkara lah tentang library ni. Plus, Im tegah join program English in Camp. Tak lama lagi ada pertandingan peringkat daerah. Sebab itu la tiap hari kena latihan,” jawab Imran dengan panjang lebar. 

“Kau buat semua tu sampai kau penat macam ni? Hari-hari macam ni?” Niala bertanya lagi. Imran Cuma tersenyum. Senyum malas untuk menjawab. 

“Baik kau berhenti saja dari jadi ketua pengawas tu.” Niala berkata tegas. Imran yang tadi mengantuk tiba-tiba merasakan kesegaran dengan kata-kata Niala itu. Di pandangnya kakaknya dengan pandangan hairan. Niala memandangnya tajam.

“kenapa?  Akak Cuma kasihan dengan kau Im. Bagi akak baik kau berhenti jadi ketua pengawas, kau jadi saja pengawas biasa. Kau sanggup penat macam ni setiap hari? Tak payah lah nak ambil tanggug jawab kalau kau tak mampu nak pikul semuanya.” Niala berkata tegas.

“Akak cakap apa ni?” Imran bertanya sedikit kecewan bercampur hairan dengan pandangan kakaknya itu.
“Akak nak kau fakir elok-elok sahaja. kau tu tak mampu nak memikul tanggung jawab ketua itu. Ini lagi satu, cukup lah dengan aktiviti English kau tu. Tak payah la tambah-tambah nak ikut aktiviti yang lain. Buat penat kau nanti jatuh sakit siapa susah?” Niala berkata sambil membelek-belek rambutnya.

“kalau mata pelajaran English kau makin meningkat takpa juga. Ni takat itu juga.” Tiba-tiba ibunya yang sedang menuju ke bilik menambah komentar. Rupa-rupanya perbincangan Imran dan Niala didengari oleh ibu. Imran berasa cukup kecewa. Kakaknya seperti tidak mahu memahamai usahanya. Bukankah apa yang dilakukannya ini merupakan kemahiran insaniah yang bakal memberikan dia faedah di masa hadapan kelak. Imran merasakan dia penat kerana dia baru berada di awal masanya sebagai pemimpin. Lama kelamaan dia pasti akan mampu untuk menguruskan hal-hal perpustakaan dengan cukup baik. Kata orang, alah biasa tegal biasa.

Imran bangun dan meninggalkan ruangan menonton televisyen lalu masuk ke bilik tidur meninggalkan Niala. Niala memandang Imran dengan penuh yakin akan pendapatnya untuk kebaikan adiknya. Imran rasa tidak dihargai. Seakan-akan kehilangan sokongan keluarga sendiri. Dia ingin belajar membina keyakinan diri. Sebelum ini dia tidak mungkin mahu memegang sebarang jawatan dalam apa-apa kelab mahupun persatuan di sekolah. Kali ini dia diberi peluang oleh seorang guru penasihat pusat sumber untuk memegang jawatan ini dan sedang menjalani proses pembelajaran pengurusan pusat sumber. Kenapa kakaknya tidak memberikan sokongan? Kenapa ibu tidak mahu faham? Kenapa keluarga sendiri tidak memotivasikannya? Emosi Imran terganggu. Hatinya terguris dek kata-kata Niala. Matanya mula berkaca menahan air mata yang menunggu masah untuk jatuh. Dicapainya sapu tangan yang terlipat kemas di sisi meja belajar lalu menyeka air mata yang hampir terjatuh. Dia memejamkan mata dan mahu melupakan seketika kata-kata kakaknya serta ibu sebentar tadi. 

…………………………………………………………………………………………………………………..

“Wei, ko tak mahu tanya soalan ka?” Adian menghentikan lamunan Imran. Dipandang temannya itu sambil mengerutkan dahi. 

“Ntah la. Macam tak ada soalan lah buat masa ini.” Imran menjawab bersahaja. 

“Pelik bin ajaib. Biasa kau ni kaki soalan. Tak pernah kau tak menyoal beb,” Adian berkata. Perli. Imran hanya mendiamkan diri. Masa tinggal sepuluh minit sahaja lagi sebelum sesi ceramah selesai. Kelihatan beberapa orang pelajar yang hadir mengangkat tangan ingin mengajukan soalan. Di hujung sebelah kanan dewan kelihatan Nor Syamila, adik junior yang duduk satu kolej kediaman dengannya. Gadis itu melontarkan senyuman manis buat Imran. Imran membalas senyuman itu sambil mengangguk kepala sekali lalu kembali menumpukan perhatian kepada jawapan yang diberikan oleh penceramah di atas beberapa soalan yang telah diajukan sebentar tadi. 

Selesai ceramah, Imran duduk bersendirian di Café d’bayu. Café yang menghadap Laut China Selatan itu cukup indah. Angin petang yang sedikit hangat member  kesegaran pada tubuhnya. Adian sudah berlalu pergi, katanya hendak ke perpustakaan. Online Mysapce. Imran mahu menunggu waktu sahaja hendak ke kelas Asas Pengurusan Insuran. Imran melirik jam ditangannya. Ada setengah jam lagi sebelum kelas bermula. Fikirannya kembali menerawang kembali memikirkan masa lalu. Zaman persekolahan yang indah. Di manakah rakan-rakan baiknya dahulu. Rasa rindu menyelubungi dirinya. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Ada pesanan ringkas (sms). 

#  Mak tanya ko balik ka ujung minggu ni….. 

Sms dari abangnya Ridzuan. 

# InsyaAllah.

Imran membalas ringkas. Di tarik nafasnya dalam-dalam lalu menghembuskan perlahan. Fikirannya kini menerawang jauh. Teringatkan sesuatu.

*Kisah Abang

“Baiklah, kita mesti pastikan persembahan kita nanti akan memukau semua yang hadir. Dengan itu, mulai dari saat ini kamu semua perlu membuat latihan intensif. Sebab nanti kalau persembahan kamu hambar, kamu akan malu. Saya lagilah malu. Faham?” Cikgu Sarah memberikan kata dua sambil memegang beberapa keping kertas berupa skrip persembahan sempena hari anugerah pelajar cemerlang yang akan berlangsung dalam tempoh dua minggu lagi. 

“Faham!” jawab para pelajar yang mengambil bahagian. Imran memandang abangnya Ridzuan. Ridzuan memandangnya dingin. 

Cikgu Sarah membahagikan skrip yang dipegangnya tadi kepada setiap pelajar. Persembahan yang akan dibuat adalah berupa  persembahan choral speaking yang di seang seli dengan lagu dan penceritaan individu. Latihan di buat berulang kali sehingga Cikgu Sarah berpuas hati. Naik lenguh rahang Imran bercakap sambil mengekspresikan mimik muka yang bersesuaian dengan skrip. 

Selesai sesi latihan, Redzuan bertemu dengan Imran. Mukanya sedikit masam dan kelihatan kurang senang.
“Bila masa kau ikut persembahan ni? Sebelum ni kau tak ada pun dalam senarai.” Kata Ridzuan sinis.

“Dua hari lepas, Cikgu Sarah yang offer. Im cakap lah ok. Kenapa?” Imran bertanya agak hairan.

“Kau ni, sibuk ja nak join. Kan ada banyak lagi persembahan kau boleh ikut. Huh …. “ Ridzuan mengeluh keras. 

“Im nak try yang ini lah. Salah kah?” Imran bertanya lagi tambah hairan. Ridzuan segera berlalu dengan muka yang masam mencuka. Abangnya yang berusia  tiga tahun tua darinya itu berperangai agak pelik. Imran hairan dengan sikap abangnya itu. Dia terasa hati. Abangnya tidak senang dengan kehadirannya dalam persembahan ini. Tapi kenapa? Imran sebenarnya sudah lama memerhati sikap abangnya. Ridzuan sepertinya tidak senang apabila Imran bergaul bersama teman-temannya. Malah, Ridzuan yang pada mulanya ceria berborak bersama rakan-rakan akan secara serta merta ‘buat muka’ apabila Imran datang mendekati dia dan teman-temannya. 

……………………………………………………………………………………………………….

Sebenarnya bukan itu sahaja yang membuatkannya  kecewa dengan sikap Ridzuan. Ridzuan kini sudah berumah tangga. Memiliki seorang anak lelaki. Imran sangat kecewa dengan sikap Ridzuan yang berhenti belajar dalam bidang kejuruteraan hanya semata-mata ingin berkahwin. Dia yang belajar di Universiti Teknologi Petronas hanya sempat mengikuti pengajian satu tahun dan kemudian mengambil keputusan untuk bekerja dan mendirikan rumah tangga. Imran ingat lagi ibu menangis kerana mengetahui Ridzuan sudah berhenti belajar dari teman kakak yang bekerja di universiti yang sama. Hampir dua minggu Ridzuan hilang tanpa berita. Ibu menangis risaukan akan keselamatan Ridzuan. Akhirnya, abangnya itu kembali ke Sabah dan menjelaskan segala yang telah berlaku. Yang lebih mengejutkan, hasratnya untuk mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihannya. 

Imran cukup kecewa ketika itu. Bukan kecewa kerana abangnya ingin berumah tangga. Namun dia sangat kecewa kerana abangnya telah mensia-siakan usaha ibu dan abah yang bersusah payah mencari duit untuk menghantar dia belajar jauh dari kampung. Imran ingat lagi ayah terpaksa tebalkan muka untuk membuat pinjaman kepada Pakcik Jain, teman abah yang memiliki perniagaan menjual kain serta baju pasang siap di pekan. Tidakkah dia terfikir susah payah ibu dan ayah ketika itu? Ketus hati kecil Imran. 

Imran memandang laut lepas. Ingatan terhadap kisah-kisah lalu yang membuatkan dirinya merasa asing untuk mendekati keluarga sendiri. Dia merasakan ada ruang kosong yang sungguh luas memisahkan dirinya dengan keluarganya. Namun Imran sendiri tidak faham kenapa dia merasakan perlu berjauh hati. Adakah hatinya terlalu sensitif. Dia selalu berfikir adakah ruang renggang yang wujud ini adalah kerana sikapnya sendiri? Imran sendiri tidak tahu. Apa yang dia tahu, perasaan kecewa yang menyebabkan dia tidak mampu untuk duduk rapat dengan kedua adik beradiknya itu seperti dahulu. Sikapnya  berterusan hingga saat ini.

‘aku rindu hari-hari bahagia. Ya Allah, buka pintu hati ku dan ampunkan salah ku jika ini berlaku di atas sikap ku sendiri.’ Bisik hati kecil Imran.

Saturday, December 18, 2010

PeRtAmA.....







Imran menghadap buku yang di letakkan di atas meja dengan pandangan yang kosong. Buku rujukan essential of financial management masih tidak mampu menarik perhatiannya. Apa yang difikirkannya hanyalah perkara yang berlaku beberapa bulan yang lepas. Kusut fikirannya mengenangkan perkara yang tidak ada hujung pangkal permasalahan itu. 


“Jangan kau bercinta time study ni Im. Tumpukan study tu dulu. Dah habis study, dapat kerja elok suka hati kau lah nak bercintan-cintun,” nasihat kakaknya ketika dia balik ke kampung sempena cuti pertengahan semester yang lalu. 

Nasihat kakaknya itu ada benarnya. Dia sepatutnya menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran tanpa diganggu oleh persoalan sampingan yang boleh mengundang permasalahan emosi seperti yang dihadapinya kini. Imran agak bimbang semester ini. Dia risau CGPA yang cemerlang semester lepas tidak mampu dikekalkan. Jauh di sudut hatinya mahukan keputusan yang lebih dari semester lepas. 

Imran menutup buku rujukan yang terbuka sejak setengah jam tadi dan bangun mencapai tuala. Dia ingin membersihkan diri sebelum menunaikan solat zuhur. 

“Ya Allah ya Tuhan ku, janganlah kau palingkan hati ku, setelah Engkau tunjuki dan berilah aku dari hadhirat-Mu rahmat  karena Engkau adalah Yang Maha Pemberi. Ya Allah kukuhkanlah aku dari kemungkinan terpelesetnya iman, dan berilah aku petunjuk dari kemungkinan sesat. Ya Allah sebagaimana Engkau telah memberi penghalang antara aku dan hatiku, maka berilah penghalang antaraku  dan antara syaitan serta perbuatannya. Ya Allah aku mohonkan pada-Mu jiwa yang tenang tenteram,  yang percaya pada pertemuan dengan-Mu dan redha atas keputusan-Mu serta merasa cukup puas dengan pemberian-Mu. “ panjang lebar doa yang di pinta oleh Imran bagi memohon ketenangan dari Allah yang Maha Esa.  Selesai menunaikan solat zuhur, ada rasa nyaman menusuk masuk ke dalam hatinya masuk melalui ubun-ubun. Seakan dia hanyut dalam rasa tenang yang sangat menyamankan. 

Imran melihat jam meja biru segi empat miliknya. Jam sudah menunjukkan pukul 1.30 petang. Rakan baiknya Adian masih belum kelihatan. Tadi dia memberikan pesanan ringkas melalui telefon meminta agar Imran menunggunya untuk makan tengah hari bersama. Adian memang rakan baiknya semenjak sekolah menengah lagi. Masuk ke universiti yang sama, sekolah yang sama tetapi jurusan yang berbeza. Selalunya Adian akan datang selewat-lewatnya pukul 1 petang untuk sama-sama makan tengah hari dengan Imran jika tidak ada kuliah. Imran membaringkan diri sementara menunggu rakan baiknya datang. Dengan hanya berkain pelikat, di julurkan kakinya biar tegang. Dia rasa lenguh. Mesti sebab main futsal, bisik hati kecilnya. 

Pintu biliknya diketuk. Imran bingkas bangun namun pintu dibuka sebelum sempat dia sampai ke muka pintu. Berdiri Adian sambil tersengih memegang telefon bimbitnya. 

“Apsal lambat?” Tanya Imran.
“Ala beb, ada hal sikit la tadi. That why la lambat sikit. Kau lapar sangat ka ni?” Adian bertanya serba salah. Dia melangkah masuk tanpa dipelawa dan duduk di tepi katil Imran. Imran segera mengenakan seluar khakis coklat menggantikan kain pelikat yang dipakainya tadi. Dilihatnya wajah licin tanpa jerawat yang sememangnya dikagumi rakan-rakannya. Menurut Jalil salah seorang temannya, jarang lelaki muka licin macam Imran. Imran tersenyum sendiri sambil membelek mukanya di cermin. 

“Amboi. Senyum-senyum pula kau kan. Apa kes?” Adian memerli gelagat Imran yang tersenyum sendiri menghadap mukanya di cermin.

“ Saja senyum melihat keindahan anugerah ilahi ni.” Jawab Imran sambil tergelak kecil.

“uwekkk…. Muntah aku seratus kali beb. Dah la tu, jom makan,” Adian menarik lengan Imran kerana perutnya sudah tidak tahan rasa lapar.
……………………………………………………………………………………………………….
“Apa cerita kau dengan budak Johor hari tu? Ok tak?” Adian bertanya sembil menyedut sisa-sisa air yang berbaki.  Imran mengerutkan dahi menerima soalan rakannya itu. 

“Biasa ja. “ jawab Imran ringkas.
“Mesti ada problem ni kan. Tengok muka kau pun aku tau beb.”

Imran hanya mampu mengangkat bahu. Tidak tahu dia hendak berkata apa lagi. Dia berpura-pura menonton televisyen. Di lihatnya sekeliling kafeteria. Kelihatan hanya beberapa orang sahaja pelajar duduk makan sambil menonton rancangan televisyen. Kafe yang agak luas itu dilengkapi dua buah televisyen 28 inci dengan siaran astro. Di bahagian atas kafeteria terdapat kedai kecil berhawa dingin yang memberikan perkhidmatan Photostat, print-out serta menjual kad top-up. Tertera nama EASYWALK di pintu masuk kedai tersebut. Di sebelah kedai Easywalk terdapat pusat gym mini yang sudah tidak digunakan lagi. Entah apa masalah dengan kedai tersebut Imran pun kurang pasti. Semenjak dia duduk di kolej kediaman ini, kedai tersebut memang terbiar begitu sahaja. Alangkah baiknya jika dia boleh membuka sebuah kedai buku di situ. Pasti laku. 

“Imran, kenapa kau suka couple dengan orang jauh? Nonsense la kau ni,” Adian memulakan lagi perbualan setelah dilihatnya Imran tidak berkata sepatah pun.

“Apa pulak nonsense?” Imran menyoalnya kembali.

“Ya lah. I can’t imagine that you are not even meeting your couple, even once.”

“so, apa yang mengarutnya?” Imran menyoal lagi.

“Ya lah. Kau couple jumpa dalam internet. Itu satu hal beb. Lagi satu, yang kau jadikan couple tu pula duduk nun jauh di seberang laut. Yang ketiganya, dia memang orang sana beb. Habis study, memang dia duduk sana beb.” Adian seakan tidak berpuas hati dengan Imran. 

“Ala, mana tahu rezeki aku duduk sana,” jawab Imran sambil tersenyum meleret. “lagipun ok what this kindda relationship. Maksiat kurang.” Imran tergelak dengan jawapannya sendiri. Adian mengerutkan dahi.

“Banyak la kau. Kurang realistik la perhubungan cinta kau ni. Kalau aku, awek aku study Sarawak tapi dia orang sini beb. Habis study mesti dia akan balik sini juga. Itu baru rialistik,” Adian membuat perbandingan. Imran terdiam mendengar kata-kata rakan baiknya itu. Dia sudah kehabisan kata-kata untuk bersoal jawab dengan Adian. Kalau Adian tahu apa yang telah terjadi, lain pula jadinya. Memang pelik apabila mendengar seorang anak remaja yang menjalinkan hubungan cinta jarak jauh. Apa lagi hubungan cinta itu hadir melalui laman sesawang dan menambahkan pelik ialah kedua-duanya tidak pernah bertemu. Malah, kemungkinan untuk bertemu juga 50/50. 

……………………………………………………………………………

Imran merehatkan diri. Duduk di tepi tingkap yang menghadap blok-blok kolej kediaman yang memanjang. Bilik Imran yang dikongsi dengan tiga orang lagi pelajar memilik dua tingkap yang hanya menyajikan pemandangan blok-blok belakang kolej kediaman. Alangkah baiknya jika biliknya menghadap pemandangan indah masjid atau jalan raya yang dihiasi pepohon yang rendang seperti bilik-bilik di baris hadapan. Pasti hatinya tenang setiap pagi dan petang. 

Matanya sedikit mengantuk. Mungkin akibat kenyang dengan juadah tengah hari. Di tambah lagi dengan santapan kata-kata rakan baiknya Adian memberi  komentar tentang perhubungan cintanya. Imran mengeluarkan rokok jenama Winston jalur biru dari laci meja belajarnya. Dikuisnya sebatang rokok dan menyalakan api. Disedut sekali dan dengan hembusan perlahan asap berkepul-kepul keluar melalui tingkap yang terbuka luas. Matanya yang mengantuk tadi semakin terasa segar. Imran melirik ke arah pintu memastikan pintu terkunci rapat. Dia risau andainya ahli jawatan kuasa kolej menangkapnya sedang merokok. Yang pasti, undang-undang kolej kediaman tidak membenarkan rokok berada di persekitaran kolej. Namun begitu, hamper 80 peratus pelajar lelaki yang merokok menghisap rokok di dalam kolej kediaman termasuk Imran. Susah baginya untuk meninggalkan tabiat merokok yang menjadi rutin semenjak semester pertama berada di universiti. Biasanya bila ada pemeriksaan mengejut dari bilik ke bilik, kelihatanlah beratus-ratus kotak rokok dirampas. Belum lagi pelajar yang membuka perniagaan menjual rokok tiruan. Memang sangat mudah mendapatkan rokok di kolej kediaman universiti ini. Dan Imran yakin perkara sama wujud di universiti yang lain. Imran biasanya akan membeli sekotak rokok sahaja sebagai keperluan, maka apabila pemeriksaan mengejut dibuat rokok akan disimpannya di tempat yang sangat tersembunyi. Tidak pernah seumur hidupnya “kantoi” dengan pihak pengurusan kolej kediaman.

Imran memandang meja belajarnya. Cukup teratur susunan buku yang diletakkan mengikut keutamaan subjek yang ingin ditumpunya sepanjang semester keempat ini. Fikirannya menerawang jauh. Tiba-tiba wajah manis Azaliana Natasya tergambar dalam kotak fikirannya. Gadis kelahiran Batu Pahat yang kini menuntut di Universiti Teknomolgi Mara (UiTM) kampus cawangan Segamat. Dia mengenali gadis ini ketika akhir semester ketiga yang lalu. Perkenalan melalui laman MySpace akhirnya menjadikan pasangan kekasih. Yang lucunya, mereka merupakan pasangan kekasih alam maya. Bertemu melalui laman sesawang, kemudian bercinta memalui mekanisma itu dan hanya berhubung melalui internet ataupun telefon bimbit. Bertemu? Jauh sekali. Jarak Sabah dan Johor ditambah lagi dengan situasi mereka sebagai pelajar memang mustahil untuk bertemu dalam jangka masa yang dekat. 

‘Tak sangka kita couple kan B?’ Imran memanjakan gadis kesayangannya dengan paggilan Baby. Panggilan telefon merupakan jalan paling baik untuk mengubat rindunya pada Azaliana Natasya.

‘Kenapa pula B cakap tak sangka pula?’ Azaliana menyoalnya kembali. Panggilan Hubby diberikan oleh gadis manis itu kepada Imran. 

‘ya lah. Cuba B fikirkan, kita ni jauh. Kenal pun dalam internet. Tak pernah jumpa pula tu, kemudian nak couple bagai. Hehehehehe…. ‘ imran tergelak kecil.

‘InsyaAllah nanti kita jumpa juga. Bukannya jauh pun Johor dengan Sabah. Naik kapal terbang dalam dua jam lebih ja kot.” Azaliana pula berseloroh.

‘takpe, nanti saya berenang ke Johor ek.’ Kedua-duanya ketawa memecah keheningan malam.

Namun itu cerita manis beberapa bulan yang lalu. Kini gadis yang cukup disayaginya itu seakan menyepikan diri darinya. Pesanan ringkas memalui telefon pun jarang dibalas. Kadang-kadang panggilan telefon Imran pun tidak dijawab. Azaliana Natasya ada mengadu mengenai penyakit yang dihidapinya. Penyakit yang berkaitan dengan masalah tulang belakang itu telah lama dihidapinya. Sebulan yang lalu Azaliana dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan kerana penyakitnya itu kembali menyerang. Semenjak peristiwa itu juga dia semakin menyepikan diri. Walaupun perhubungan cintanya ini dianggap nonsense oleh rakan baiknya, namun bagi Imran gadis ini sangat istimewadihatinya. Tidak pernah bertemu bukanlah halangan untuknya merasakan cinta yang mendalam terhadap Azaliana Natasya.

nantikan percubaan pertama saya

Thursday, December 16, 2010

sebaris kata

wahai diri
kau ambillah tinta,dan capai la helaian kertas
kau tulislah pada kertas itu dengan tinta
lalu kau ceritakan rasa hati itu

kau beralihlah pada helaian berikutnya
dan kembali menggunakan tinta
kau luahkan padanya tentang gusar mu
jangan kau lukis kepura puraan itu
hanya berkata benar dari tulus hati mu

andaikan tinta ini sebuah megika
mampu untuk mengubati duka
lalu mengesat air mata

wahai diri
marilah mencapai tinta
lalu tulislah pada helaian kertas itu....

pembuka kata

assalamualaikum...
memulakan bicara untuk memulakan penulisan bukan sesuatu yang mudah buat aku. cuma aku mengharapkan agar kewujudan blog ini akan sedikit sebanyak mengisi rasa CINTA aku terhadap bidang penulisan. aku sangat suka menulis. otak aku selalu memikirkan agar aku  boleh mencari ruang untuk menulis sesuatu dan terkadang SESUATU itu hadir tanpa mengira tempat dan tanpa mengira sama ada aku memiliki secarik kertas dan pen pun di tangan... 

apa yang bakal aku kongsikan ini cumalah ekspresi pemikiran aku. andai ada yang menyenangi, silakan menulis dan membaca bersama aku. andai kata ada yang membenci, silakan undur diri dan cari sesuatu yang memanah di hati...  

salam perkenalan dunia :-)