Monday, February 14, 2011

kELiMa


“Esok puasa ke?” Adian bertanya sambil meneguk air mineral.
“Kau tanya aku ke?” Imran tersengih menampakkan baris giginya yang tersusun rapi.
“Kau rasa aku tengah bercakap dengan jin ke?” Soalan Imran dibalas dengan soalan lagi.
“Kau salah orang nak tanya ni. Mana lah aku tau. Aku bukan kerja dengan Majlis Raja-raja.” Seraya itu Imran tergelak besar. Ditambah lagi dengan muka Adian yang tidak puas hati.

Imran kemudian terkenang zaman kecilnya. Ketika itu sepupunya, Yusuf yang berusia lebih 10 tahun tua darinya datang ke rumah. ketika menanti bulan puasa tiba, ayah, abang iparnya dan Yusuf membuat kira-kira di papan putih yang tergantung di rumahnya. Papan putih itu dihadiahkan oleh teman ayah. Ketika ditanya mengapa mereka berdua membuat kira-kira, mereka menjawab untuk membuat kiraan bila tarikh bulan puasa kelak. Imran hairan adakah boleh membuat kira-kira secara manual untuk mengetahui tarikh bulan puasa. Terbukti, kiraan mereka betul kerana keputusan yang mereka perolehi sama dengan yang diumumkan di kaca televisyen. Ketika itu dia cukup kagum.

“Tapi aku harap esok puasa,” kata-kata Adian menghentikan lamunan Imran. Imran mengerutkan dahi.
“Kenapa pula?”
“Sebab kalau esok puasa, dapatlah aku berjimat cermat. Kalau bukan bulan puasa ni asyik nak lapar saja.” Adian meneguk lagi air mineral tadi. Mungkin dia cuba menggantikan kesan hydrasi akibat cuaca yang agak panas.
“Tapi aku tengok kalau bulan puasa ni lah orang suka sangat membazir,” ada nada keluhan pada kata-kata Imran. Adian menjongketkan bahu. Dia dapat lihat ketika bulan puasa, pola perbelanjaan pelajar-pelajar cukup menggerunkan. Kalau boleh semua makanan nak dibeli. Implikasi baik pada peniaga bazaar kerana makanan mesti laku dan kesan buruk pada tabungan para pelajar kerana mereka tidak berbelanja dengan bijak. Kadang-kadang Imran terfikir kenapa tidak mereka yang berpuasa berkunjung ke masjid sahaja untuk sama-sama berbuka puasa di rumah Allah itu. Ketika berada di tahun satu, Imran kerap berbuka puasa di masjid. Menu yang diberikan cukup teratur. Berbuka puasa dengan hidangan yang ringkas namun sudah memadai untuk menggantikan tenaga yang hilang ketika berpuasa di siang hari. Bukan sahaja dapat membuat penjimatan tetapi juga boleh mengeratkan silaturrahim sesama muslim. Dua pahala dah dapat.

“Aku pun harap esok puasa.” Tiba-tiba Imran memecah kesunyian beberapa saat tadi.

------------------------------------------------------

Imran terasa kepalanya berdenyut-denyut. Dicapai minyak angin cap kapak dan disapukan perlahan pada dahi dan tepi kepala sambil memicit lembut di kawasan tersebut. Sesekali picitan itu dikuatkan bila dia tidak merasakn kesan picitan halus tadi. Hujan yang turun petang tadi sudah semakin reda. Angin yang bermain setelah hujan turun cukup mendamaikan. Terasa sejuk menyelimuti kulitnya sampai ke sum-sum.

Pintu bilik terkuak memeranjatkan Imran. Kelihatan Jerfy, salah seorang teman sebiliknya yang kelihatan gembira. Dia sering mendengar lagu melalui mp3 berwarna hijau miliknya. Jefry tersenyum dan dibalas juga dengan senyuman oleh Imran.

“Apsal?” Jefry bertanya apabila melihat Imran sedang memicit kepalanya. Bau minyak angin semerbak di sekitar bilik itu.

“Sakit kepala sikit.” Imran menjawab.

“Kena hujan lah tu,” Jefry membuat andaian. Imran tidak menjawab walaupun sebenarnya andaian Jefry salah. Tidak setitik pun hujan menodai dirinya hari ini. Imran pulang ke kolej kediaman juga sebelum hujan turun.

Kepalanya semakin sakit. Badannya juga terasa pegal-pegal. Imran membaringkan diri sambil memicit kepalanya. Bau minyak angin terasa segar menyucuk hidungnya. Rasa panas sedikit memberi keselesaan dikepalanya.

Puasa! Imran tersentak apabila dia teringat tentang pengumuman puasa. Dia segera mencapai telefon bimbit dan mendengar radio Sabah.fm. Terlepas! Imran mengeluh kerana jam sudah menunjukkan pukul 9.00 malam. Imran lalu mengirimkan pesanan rinkas kepada Adian bertanyakan sama ada esok puasa atau tidak. Dia perlu bersedia untuk juadah sahur esok hari.

Lama baru Adian membalas pesanannya. Ternyata memang esok puasa. Mee segera masih banyak dalam simpanan. Quacker oat juga masih ada separuh balang. Beberapa bungkus roti juga masih ada tersimpan baik dalam almari khas untuk simpanan makanan, baru dibeli dua hari lepas.  Rasanya tidak perlu untuk Imran ke kafeteria membeli juadah sahur.

Kepalanya kembali sakit dan dengan segera merebahkan diri sambil terus memicit kepalanya. Baru sahaja matanya terlelap, telefon bimbitnya berdering. Ada panggilan. ‘Fitriani’ ketus hati kecilnya. Imran hairan kenapa tiba-tiba Fitriani menghubunginya.

Fitriani              : Assalamualaikum. Apa khabar?
Imran               : Waalaikumsalam. Khabar baik.

Suasana senyap seketika. Lidah Imran kelu kerana terkejut dengan panggilan Fitriani secara tiba-tiba, hari ini, saat ini.

Fitriani              : Apa cerita sekarang?
Imran               : Masih belajar lagi.

Imran menjawab ringkas. Kepalanya terasa semakin berdenyut.

Fitriani              : Ya ka? Mesti semakin busy kan? Lama tak dengar cerita awak. Terasa
                          rindu pula nak tahu tentang awak.
Imran terkedu. Rindu? Kenapa tiba-tiba rindu padanya. Cerita tentang Fitriani sudah lama terkubur dan dibuang jauh dari hidupnya. dia tidak mahu untuk mengingati perkara-perkara lalu. Ditambah lagi dengan kepalanya yang sedang sakit.

Imran               : Boleh tahan la busy. So, awak apa cerita sekarang? Dah tak datang Sabah
                          lagi ke?
Fitriani              : So far takde datang sana lagi. Sekarang dah stop projek dekat Borneo.
                          Kalau ada pun orang lain yang akan handle. Perempuan kan, kena lah
                          Duduk office selalu buat kerja admin. Lagi molek.

Imran tergelak kecil walaupun agak canggung. Itu sahaja respon yang boleh diberikan kepada kata-kata Fitriani tersebut. Fitriani banyak bercerita mengenai hal kerja dan sesekali bercerita tentang gelagat adik lelakinya yang cukup nakal. Imran hanya sesekali memberikan respon untuk tidak kedengaran kaku walaupun sebenarnya dia kurang selesa ditambah dengan kepalanya yang semakin lama semakin berdenyut sakit.

Imran termenung memikirkan Fitriani. Wanita yang merupakan kisah lalunya yang sudah terkubur jauh dalam kenangan yang dibuang pergi. Bayangan kenangan yang tidak ingin diingatinya. Kenapalah wanita itu tiba-tiba muncul lagi dalam hidupnya. Imran memejamkan mata dan fikirannya menerawang cuba mengingati wajah Fitriani.

“Kenapa awak selongkar handphone saya?” Fitriani menyoal dengan nada marah. Perkataan selongkar sengaja ditekannya menandakan rasa geram dan tidak puas hati dengan tindakan Imran mencabuli hak peribadinya.

“Siapa lelaki tu?” Soalan Fitriani dibalas semula dengan soalan. Imran masih tenang menghadapi kemaharan Fitriani.

“Lelaki mana pula ni? Saya tanya awak kenapa awak selongkar handphone saya?awak tak ada hak nak buat macam itu!” Suara Fitriani semakin tinggi. Mujur sahaja mereka berada di dalam kereta. Kalau mereka berada di tempat awam sudah tentu banyak mata akan memandang drama yang mereka lakonkan.

“Saya ni boyfriend awak kan, kenapa awak buat macam tu?” Imran kembali memberikan soalan. Wajah Fitriani dilihatnya semakin merah. Marah benar wanita itu.

“Saya nak balik. Awak keluar sekarang!” Tempelak Fitriani. Kesabarannya sudah melebihi had. Dia merasakan cukup malu dengan tindakan Imran menyelongkar telefon bimbitnya. Imran telah membaca beberapa pesanan ringkas yang dia kirimkan dan diterima daripada teman lelakinya di Melaka. Walaupun dia tahu dirinya salah, tapi ego yang menebal dalam diri menyebabkan dia merasa tercabar dengan tindakan Imran. Baginya, Imran tidak berhak memperlakukannya sedemikian.

Imran terkebil-kebil mendengar permintaan marah Fitriani. Hatinya terguris. Tidak cukup dengan itu, dia ditempelak dengan kata-kata marah wanita yang tua lima tahun darinya. Pesanan ringkas Fitriani dengan seorang lelaki bernama Am Melaka itu betul-betul menghiris ulu hatinya. Kalau boleh dia merentap keluar hatinya, ingin saja dia tunjukkan kepada wanita itu bahawa hatinya sudah tidak berupa hati. Musnah dengan ayat-ayat cinta yang dia mainkan dengan lelaki itu melalui pesanan ringkas.

Imran tersedar dari lamunan apabila pintu bilik terkuak sekali lagi. Abang Man yang juga teman sebiliknya baru balik dan kelihatan agak letih. Imran tidak membuat sapaan kerana kepalanya semakin sakit. Bayangan Fitriani hilang serta merta. Dibuang jauh-jauh bayangan wanita itu dari ingatannya. Biar lenyap seketika bayangan wanita yang menjahanamkan dirinya tahun lalu.

----------------------------------------

Selesai menunaikan solat subuh, Imran berteleku di atas sejadah sambil membacakan zikir ringkas dan bacaan himpunan doa Al-mathurat. Hari pertama bersahur dengan juadah yang sangat sederhana, namun cukup bagi Imran untuk mengalas perut sepanjang hari, InsyaAllah. Matanya dipejam, kali pertama dia berpuasa di hari pertama di kampus. Biasanya dia akan pulang ke kampung untuk menunaikan ibadah puasa hari pertama dengan keluarga. Oleh kerana jadual kuliah serta tugasan masih banyak yang belum selesai, Imran terpaksa mengharungi hari pertama berpuasa di kampus.

Selesai semuanya, Imran menyangkutkan sejadah yang telah berlipat di kepala katil. Dia melabuhkan punggung ke katil sambil bersandar ke dinding. Kepala dirasakan masih sakit. Imran memicit perlahan dahinya kemudian diputar ke bahagian belakang. Kadang-kadang dia sedikit menekan dengan agak kuat ketika memicit agar kepalanya dapat merasakan kesan picitan tersebut.

Jam di meja belajar dilirik, baru menunjukkan pukul 6.30am. masa masih awal, namun Imran tidak mahu tidur. Dia bimbang dia akan terlewat ke kelas pagi ini. Kelas Dr. Wong akan bermula pada pukul 9.00 pagi. Dia tidak mahu terlewat. Dia tidak suka menjadikan alasan bulan puasa untuk bermalas-malas. Itu bukan dirinya. Dia mahu di bulan puasa ini menjadi satu pemangkin untuk dia membuat perubahan kepada dirinya. Mungkin perubahan dari segi akademik ataupun lain-lain perkara yang sebelumnya tidak berapa baik. Namun kepalanya berdenyut semakin kuat. Tiba-tiba punti biliknya diketuk. Hanya Imran sahaja yang sedang terjaga. Abang Man sejak tadi keluar, mungkin bersahur di kafeteria dan terus ke masjid. Mungkin juga Abang Man yang mengetuk pintu, mungkin terlupa bawa kunci.

Imran menapak menuju ke pintu dan membuka. Kelihatan susuk tubuh yang agak gempal sedang berdiri di pintu sambil tersenyum. Bukan Abang Man, tetapi jiran sebelah biliknya.

“Ah Ijan, ko nak apa?” Imran bertanya sambil memicit-micit kepalanya.

“Nak breakfast boleh?” Ijan ketawa sambil melangkah masuk tanpa dipelawa. Imran melemparkan senyuman tawar. Awal sangat budak Ijan ni mengganggu harinya. Tersedar, Imran beristighfar dalam hati. Tetamu yang hadir itu pembawa rezki, begitu pesan ayahnya dulu. Ijan duduk di birai katil tanpa dipelawa. Matanya memandang sekeliling bilik sambil menepuk tilam dengan kedua belah tangannya. Imran masih lagi memicit kepala dengan rentak yang agak perlahan.

“Kenapa?” Ijan bertanya setelah dilihatnya Imran terus-terusan memicit kepalanya.

“Sakit kepala lah. Sejak semalam lagi,” jawab Imran dengan suara yang sedikit tersekat. Dia segera mencapai minyak angin untuk disapukan ke dahi agar rasa lebih lega.

“kau migraine?” Ijan bertanya lagi. Imran mengeluh kecil kerana jirannya itu asyik bertanya sahaja. Entah apalah hajat dia datang menjenguk di hari pertama bulan Ramadhan.

“Maybe lah. Tiba-tiba ni sakit kepala.” Imran tersenyum tawar. Tangan serta jari jemarinya lenguh akibat terlalu lama memicit kepala. Diregangkan tangan kehadapan dan kadang-kadang sedikit dibengkokkan lalu serentak dengan itu kedengaran bunyi tulang. Jari jemarinya juga dibunyikan. Ijan memandang tingkah laku Imran sambil tersenyum.

“Petang ni kita berbuka sama nak? Ajak la Adian sekali. Kita pergi bazar dekat komplek sukan. Dengar-dengar pukul 4.00 petang dah buka,” Ijan menyatakan hajatnya datang menjenguk. Memang sepanjang bulan Ramadhan akan diadakan jualan bazar yang saban tahun akan berlokasikan padang kawad komplek sukan. Jarak lebih kurang 400 meter dari kolej kediaman tempat mereka. Pihak yang berwajib akan menjemput peniaga dari luar untuk membuka gerai jualan tetapi terkadang ada juga pelajar yang rajin untuk mencari duit poket membuka gerai jualan mereka. Tidak kurang juga para pensyarah dan tutor.

“InsyaAllah. I will let you know. Apa-apa hal aku sms kau,” Imran menjawab sambil tersenyum. Ditariknya nafas dalam-dalam dan menghembus perlahan.

“Baiklah. I am waiting, sebab hari ini aku memang tak ada kelas. Dan for sure kalau ada kelas pun aku kira nak MC,” Ijan berkata sambil tergelak kecil. Imran hanya menggelengkan kepala dengan karenah jirannya itu. Dia kemudian teringat kelasnya pada pukul 9.00 pagi, kelas Dr. Wong.

“Aku balik dulu. Apa-apa hal kau jangan lupa bagitau pula. sama ada jadi atau tidak, you have to text me. Adios,” Ijan segera bangun dan mengundur diri. Imran hanya menganggungkan kepala mengiyakan permintaan Ijan. Dia hanya menghantar ijan kepintu dengan pandangan mata sambil melemparkan senyuman.

Kelas hari ini pada pukul 9.00 pagi sampai 12.00 tengah hari. Kemudian tutorial dengan Encik Alfian pada pukul 2.00 petang selama sejam. Imran memandang jadual waktu harian yang bertampal kemas di sudut ruang belajarnya. Dia cuba mengingati apa-apa yang dia terlupa sama ada pernah berjanji untuk membuat perjumpaan bagi tugasan kumpulan atau apa-apa sahaja. Di beleknya helaian demi helaian buku diari miliknya untuk dia menulis segala temu janji, hari-hari penting serta meeting yang perlu dia ingati dan hadiri.

‘takde.’

bolehlah dia ke bazar bersama Ijan dan Adian. Dia perlu memaklumkan Adian dengan segera bimbang teman baiknya itu sudah ada temu janji dengan rakan-rakan yang lain.

Selesai sahaja bersiap, Imran melangkah menuruni anak tangga sambil menggalas beg berwarna hitam jalur putih miliknya. Beg kesayangan sejak dua semester yang lalu. Cuaca agak terik hari ini. Cahaya terik matahari menyucuk kulit yang terdedah serta membuat pandangan Imran sedikit kabur. Cahaya matahari di waktu pagi. Dari kejauhan Imran melihat Adian dan Donny berjalan beriringan menuju ke perhentian bas. Donny tersenyum tatkala menyedari Imran sedang menuju kea rah mereka dari arah bertentangan.

“Ada kelas?” Soal Donny ringkas.

“Ya. Pukul 9.00 pagi. Selamat berpuasa, puasa tak?” Imran bertanya sambil berseloroh. Ketawa mereka pecah dalam suasana terik matahari. Mereka melangkah beriringan menuju perhentian bas. Mereka memilih untuk ke perhentian bas Kolej Kediaman CD kerana kemungkinan untuk segera menaiki bas adalah lebih besar  berbanding menunggu bas di Perhentian Bas Kolej Kediaman AB.

“Guys, petang ni kita pergi bazar,” Imran menyatakan hajat Ijan awal pagi tadi. Serentak Adian dan Donny memandang kearah Imran. Imran mengangkat kedua belah keningnya.

“You know what, kami baru saja bercadang nak ke bazar tadi, dan nama kau tersenarai,” Adian menyatakan cadangan dia dan Donny sebentar tadi kebetulan sama dengan pelawaan Imran.

“Great! Siapa-siapa lagi yang pergi?” Imran bertanya lagi. Bimbang Ijan tidak selesa dengan korum yang terlalu ramai. Lagi pula, Ijan bukan satu sekolah dengan mereka. Adian, Donny dan Imran belajar di satu sekolah (fakulti) iaitu Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Cuma berlainan kurus sedangkan Ijan pula menuntut di Sekolah Sains Sosial dalam bidang Hubungan Antarabangsa.

“Kami dua orang saja.” Jawab Donny. Ketiga-tiga mereka ketawa kecil. Kemudia Imran menyatakan untuk mengajak sekali Ijan untuk menyertai mereka. Kedua temannya itu Cuma tersenyum tanda setuju.

Ketika mereka hampir sampai ke perhentian bas, Imran merasakan kepalanya sungguh sakit. Pandangannya berpinar. Gelak tawa dan senda gurau Adian serta Donny kedengaran seperti bunyi langau pada pendengarannya. Akhirnya semua gelap gelita.

Donny panik ketika Imran tiba-tiba memaut bahunya dengan kuat sebelum terjatuh dan terbaring di atas rumput berhampiran dengan perhentian bas. Beberapa orang pelajar yang kebetulan ada di situ juga terkejut dan beberapa orang dari merera datang untuk memberikan pertolongan. Adian segera menelefon sesiapa saja yang dirasakannya boleh membantu ketika itu. Dia perlukan kereta untuk membawa Imran ke klinik.

Imran tidak sedar apa yang berlaku. Semuanya gelap. Senyap. Sunyi.

1 comment:

  1. owh banyak idea leh curah nih
    -imran kene barah otak
    -jumpa misi cantik
    -pergolakan hati antara natasya & misi cantik ituh (waaahhhh)
    - dll

    ReplyDelete