Friday, January 7, 2011

KeEmpAt....



Hari khamis merupakan hari yang agak senggang buat Imran. Dia Cuma perlu menghadiri satu kelas sahaja. Kelas yang diadakan di Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) itu cukup disenanginya. Tempat yang sangat dekat dengan perpustakaan. Habis sahaja kelas, Imran segera menuju perpustakaan mencari beebrapa buah buku rujukan yang sesuai untuk dijadikan bahan bagi menyelesaikan tugasan-tugasan yang semakin bertimbun. Imran duduk berhampiran dengan tingkap. Dia suka membaca sambil melihat orang lalu lalang di sebalik tingkap gelap itu. Kadang-kadang dia berasa lucu dengan sesetengah pelajar yang akan berhenti seketika memandang cermin gelap dari luar itu dan membetulkan rambut atau tudung. Mereka tidak tahu Imran sedang memerhatikan dari dalam. Imran membelek-belek beberapa buku yang diambilnya dari rak buku ekonomi. Diteliti siapa penulis, tahun diterbitkan serta rujukan yang digunakan oleh penulis bagi melengkapkan buku tersebut.

Hampir sejam Imran meneliti buku-buku yang diambilnya. Dia melihat kepada jam tangannya.

“12.20 tengah hari sudah.” Imran agak tersentak kerana masa sangat cepat berlalu. Dia segera mengemaskan meja dan kembali ke rak tadi lalu meletakkan kembali buku yang tidak berapa sesuai untuk digunakan sebagai rujukan. Dia segera menuju ke tingkat dua bangunan perpustakaan untuk menunaikan solat zuhur.

Kelihatan ramai pelajar berpusu-pusu ke surau perpustakaan. Ada sebahagiannya menunggu di luar surau sambil duduk berbual di sofa yang telah disediakan. Imran membuka pintu surau dan kelihatan ruangan solat hampir penuh. Dia memutuskan untuk menunggu sebentar. Imran duduk agak jauh dari kumpulan pelajar yang duduk di sofa. Dia memilih meja belajar yang berhampiran dengan tingkap. Dilihatnya kafeteria perpustakaan dari cermin gelap, juga penuh. Tiba-tiba perutnya berkeroncong. Lapar. Pagi tadi dia tak sempat menjamah sarapan. Kebiasaannya, dia akan menjamah sedikit biskut yang memang tersedia di balang kacanya dengan pelbagai jenis aneka rasa dan dilengkapi dengan susu. Imran memang menggemari susu tepung. Adian selalu gelakkannya apabila dilihat paket susu ada di rak makanan Imran.

Imran meraba-raba perutnya. Dilihatnya surau semakin lengang, lalu dia segera meluru pantas untuk menunaikan solat zuhur. Selesai sahaja solat, Imran terus menuju ke kafeteria yang berada di belakang perpustakaan. Atau lebih tepat berada di tengah-tengah bahagian luar perpustakaan yang berbentuk huruf “U” itu. Semakin lama semakin ramai pelajar yang berpusu-pusu untuk makan tengah hari. Imran cuba untuk mencari kerusi yang kosong, atau lebih tepat meja kosong agar dia selesa untuk makan di ruangan yang luas.

“Imran!” Seseorang memanggilnya dengan suara yang agak kuat. Imran memerhati sekeliling lalu terlihat tangan melambai-lambai kearahnya. Kelihatan Benji dan Adian sedang menikmati hidangan mereka masing-masing. Tangan Benji melambai-lambai tanpa henti meminta agar Imran duduk bersama mereka. Segera dia mendapatkan dua rakannya itu.

“Nasib baik korang ada. Kalau tidak makan berdiri aku,” Imran melemparkan senyuman kepada kedua-dua rakannya itu.

“Pergi lah ambil makanan. Orang dah semakin ramai ni,” Adian berkata sambil mulutnya penuh dengan nasi. Imran tergelak perlahan.

“Ok. Kau tu makan sopan sikit.”
Adian tersengih-sengih.

Imran khusyuk menjamu makanan yang diambilnya tadi. Nasi putih dengan lauk ayam masak merah serta kerabu pucuk paku sudah cukup mengubati rasa lapar yang semenjak tadi menggigit-gigit perutnya.

“Kau tak ada kelas lepas ni Imran?” Benji bertanya selepas dilihatnya Imran telah selesai menjamah makanannya. Imran kelihatan sibuk menunjal ais batu yang ada didalam cawan biru yang dipegangnya.

“Tak ada. Aku just ada group discussion lepas ni. Pukul 2.30 petang dekat sekolah.” Imran menghirup air yang masih tersisa. Dia kemudian mengeluarkan seketul ais dengan menggunakan straw lalu dikunyahnya. Dilihatnya Adian mengerutkan dahi tanda kurang senang. Imran buat-buat tidak tahu. Diulangnya lagi perkara yang tidak disenangi Adian itu. Benji hanya tersengih melihat telatah dua rakannya itu. Dia tahu Adian dan Imran adalah sahabat baik semenjak tahun satu di sini lagi.

“kau nak ais lagi ke?” Adian mengangkat sebelah keningnya dengan penuh wajah sinis. Pecah ketawa imran. Dia menghentikan kunyahan ais itu.

“Aku busy giler dengan assignment yang bertimbun. Pening kepala aku,” Benji meluahkan rasa. Dibeleknya buku tebal yang baru sahaja dipinjamnya sebentar tadi.

“Alah kau ni, macam tak biasa. Semua orang pun busy dengan assignment. Faham-faham saja lah, assignment ni takkan pernah nak putus,” Adian pula menyambung. Direnungnya buku tebal yang asyik dibelek oleh Benji.

“Tak mungkin kita akan lepas dari assignment selagi kita study dekat universiti,” Benji menyambung. Memang benar kata-kata Benji itu. Selagi bergelar mahasiswa, mereka terpaksa berhadapan dengan tugasan yang sentiasa memenuhi jadual semester. Sebentar lagi Imran juga perlu menghadiri perbincangan dengan kumpulannya. Entah apa lagi yang akan berlaku kerana sudah beberapa kali tugasan berkumpulan tidak selalunya berjaya bagi Imran. Ada sahaja masalah yang dihadapinya. Dia tidak suka kumpulan yang tidak ada persefahaman apatah lagi yang tidak mahu bekerja sama. Acap kalai Imran mendapat ahli kumpulan seperti itu. Dia serik dan cuak.


Imran berdiri kaku. Kakinya seakan kejang secara tiba-tiba. Panas terik mentari telah menghentikan langkahnya. Bukankah baik jika saat ini mendung, sudah digagahi langkah kaki menuju sekolahnya. Imran melihat perhentian bas yang semakin lama dibanjiri oleh para pelajar yang ingin ke destinasi masing-masing. Biasanya selepas waktu makan tengah hari dan sebelum jarum jam hampir menunjukkan pukul 2.00 petang, perhentian bas pasti akan penuh. Biasanya melihat sahaja keadaan seperti itu, Imran pasti akan gagahi jalan berbukit menuju Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE). Di situlah fakultinya yang dinamakan sekolah.

Universiti Malaysia Sabah memang sangat luas. Lebih kurang 999 ekar tanah yang seluas pandangan ini. Kalau rajin boleh sahaja melawat dari satu tempat ke tempat lain. Lanskap memang cantik dan cukup mengkagumkan. Namun, dek kerana keluasan yang terlampau ini, Imran pada hari ini seperti berat kaki hendak melangkah apatah lagi dalam cuaca panas yang membakar. Mahu sahaja dia melangkah menuju perhentian bas tetapi pelajar terlalu ramai. Dia sangat pasti akan tersingkir dalam pergelutan menaiki bas nanti.

“Imran, kata tadi nak pergi discussion. Apa hal tercegat lagi?” tiba-tiba Benji datang bertanya. Imran mengurut dada dan beristighfar kerana terkejut dengan kehadiran Benji secara tiba-tiba.

“Panas la Ben. Terik sangat. Kau dah nak pergi kelas ke?” Imran pula bertanya sambil mengibaskan kolar bajunya tanda kepanasan. Beberapa titik peluh timbul di dahinya.

“Kelas aku batal lah. Aku nak balik. Terik? Mengadanya kau ni, jaga kulit ek,” Benji ketawa sambil berlalu pergi. Imran menggaru kepala yang tidak gatal. Kurang asam punya Benji, ketus hati kecilnya. Imran melirik ke arah jam tangannya, sudah menunjukkan pukul 2.15 minit. Tinggal 15 minit lagi sebelum perbincangan kumpulannya bermula. Imran risau dia terlambat. Baginya, janji harus ditepati apatah lagi melibatkan masa. Bukan semua orang suka menunggu, walhal Imran sendiri tidak suka menunggu atau ditunggu. Antara rela dan tidak, Imran segera menapak menuju SPE.


Peluh menitik di dahi saat Imran tiba di sekolah. Ditariknya nafas dalam-dalam lalu dihembuskan dengan hembusan yang berat. Penat dirasakannya berjalan kaki melalui kawasan yang berbukit itu, apatah lagi dalam cuaca yang agak terik. Ketika kakinya betul-betul berada di bangunan sekolah, jam sudah menunjukkan tepat 2.29 petang. Tinggal  satu minit dari masa yang dijanjikan. Imran berdoa agar masa yang dipaparkan oleh jarum jamnya sama dengan masa di jam rakan-rakannya nanti. Imran menuju ke perut sekolah lalu menaiki tangga ke tingkat satu dan segera menuju perpustakaan sekolah. Sebuah bilik yang bersaiz sedikit besar dari bilik tutorial. Di lihat rakan-rakannya Suhaida, Haslindah, dan Afiq sedang duduk berbincang. Mereka melemparkan senyuman tanya menyapa Imran dari jauh setelah kelibatnya muncul. Mana Neeha? Dia berbisik dalam hati.

Imran mengambil tempat di sebelah Afiq. Ditariknya nafas dalam-dalam lalu melepaskan dengan agak berat.

“Letih,” tiba-tiba Imran membuka mulut. Dikesat peluh yang menitik di dahi menggunakan belakang tangan.

“Kau jalan kaki tadi?” Haslindah bertanya seraya menghulurkan tisu. Imran sambut lalu mengesat sekali lagi peluh yang menitik. Imran menganggukkan kepala tanda menjawab soalan Haslindah sebentar tadi.

“Neeha mana?” Imran melihat jarum jam sudah menunjukkan pukul 12.40. dia segera mengeluarkan buku notanya beserta sebatang pen berdakwat biru.

“As usual, sama ada dia datang lewat atau tak datang langsung.” Afiq mencebikkan bibir. Dia sudah tahu sikap Neeha yang suka datang lewat ke kelas. Apa lagi untuk sekadar perjumpaan seperti ini. Suhaida dilihatnya hanya tersenyum dan tekun membaca buku rujukan. Memang sudah menjadi rutin Suhaida, membaca sesuatu dalam masa-masa terluang.

“It’s ok, why not kita mulakan saja dulu. Nanti dia datang tinggal follow saja apa yang kita sudah bincangkan,” Haslindah bersuara. Imran menjungkitkan bahu dan tersenyum hambar. Dia memang sudah masak dengan perangai Neeha. Suka berlengah dan tidak tepat pada waktu. Tapi, yang menghairankan dia gadis Punjabi itu selalu cemerlang dalam peperiksaan.

Perbincangan bermula dengan penuh semangat. Semuanya begitu fokus memberikan pandangan untuk menyelesaikan tugasan kumpulan yang telah diamanahkan. Sememangnya, keempat-empat mereka ini merupakan rakan baik dalam kursus kewangan dan perbankan. Ke mana sahaja pasti bersama termasuklah dalam apa-apa tugasan kumpulan yang diberikan. Neeha bukanlah teman baik mereka, Cuma ketika pembahagian kumpulan dilakukan, gadis itu tidak tersenarai dalam mana-mana kumpulan pun. Kerana simpati, Suhaida mempelawa Neeha untuk bersama-sama mereka kali ini. Walaupun perbincangan dilakukan tanpa seorang ahli lagi, namun perbincangan yang mereka lakukan cukup sempurna. Haslindah ditugaskan untuk menulis segala maklumat yang dibincangkan. Laju sahaja jemari runcingnya menulis di atas kertas putih bersaiz A4.

“So now, we are done. Kita tinggal nak bahagi tugasan sahaja bukan?” Imran bertanya semua rakan-rakannya namun mata tertumpu kepada Haslindah yang sedang menongkat dagu. Diangkat keningnya apabila Imran memandang kearahnya. Imran tersenyum. Haslindah memang nakal.

“The problem is, Neeha is not around. How to separate this matter?” Afiq mengeluh keras. Abang yang menjaga bahagian kaunter hadapan memandang sambil tersenyum. Munkin juga dia mendengar setiap patah perbincangan mereka tadi kerana mereka duduk agak hampir dengan kaunter tersebut. 

“Just ignore her. Malas fakir fasal dia,” Haslindah menambah. Imran hanya mampu menggelengkan kepala.
“Apa kata sekarang kita bahagikan dulu tugas. Kita bahagi sama rata lah. Berlima. About Neeha, let me talk to her personally. Jangan risau lah.” Suhaida memberikan jalan penyelesaian terhadap kekalutan sebentar tadi. Imran tersenyum lagi. Dia selalu merasa kagum dengan ketegasan yang ditonjolkan oleh Suhaida. Bagi Imran, ketegasan gadis itu ditunjukkan dengan santunnya dia sebagai seorang gadis. Nasib baik dia sudah memiliki Azaliana natasya, kalau tidak gadis ini mungkin telah dipikatnya. Imran tergelak kecil.

“Berangan!”

Terasa bahunya ditolak. Afiq menjuihkan bibir sambil memutar-mutarkan jari telunjuknya di kepala sebagai tanda Imran berada dalam keadaan kurang siuman. Semua ayang ada tersenyum sahaja kerana menahan gelak. Mereka berada di dalam perpustakaan, maka tidak boleh berbuat bising. Neeha tidak juga datang sehingga mereka berempat selesai membuat perbincangan. Jam menunjukkan pukul 4.30 petang, mereka segera menuju perhentian bas.

Di dalam bas, Imran membatukan diri. Tidak ada sepatah pun kata-kata yang mahu diucapkannya. Afiq yang duduk bersebelahan hanya sesekali dijelingnya. Ingatan menerawang ke Johor. Apa khabar agaknya Azaliana?

-------------------------


Selesai melipat sejadah, Imran melabuuhkan punggung pada kerusi yang terletak di meja belajarnya. Imran memandang kosong pada jadual belajarnya. Sangat padat tetapi bukan semuanya mampu dipatuhi. Dicapai telefon Nokia 1600 lalu mencari sebuah nama yang sudah berbulan menjadi tattoo di hatinya. Usai ketemu, dia memandang nama itu lama. ‘Saya rindu awak.’ Hatinya berbisik.

Imran menghembus nafas dengan berat. Kenapalah saat ini jiwanya kacau. Pelawaan Adian untuk makan malam bersama juga ditolak dengan alasan dia tidak lapar. Bukan Imran tidak lapar, namun dia pasti tidak akan berselera menjamah apa-apa juga makanan dalam keadaannya kini.

Imran hairan mengapa dirinya kini tidak sekuat dulu. Mengapakah hanya kerana Azaliana Natasya dia sepertinya hilang kekuatan yang dahulunya mampu ditongkatnya dengan cukup teguh. Imran lalu menekan butang hijau, mendial nombor Azaliana.

Tiada jawapan. Dicubanya sekali lagi.

Azaliana           : Assalamualaikum.
Imran               : Waalaikumsalam.
Azaliana           : Sorry tadi lambat pick up, ada hal sikit.
Imran               : It’s ok B. Buat apa tu?
Azaliana           : Takde buat apa. Borak-borak je ni. Awak dah dinner?

Imran senyap seketika. Dinyalakan sebatang rokok lalu disedut dengan perlahan. Hembusan asap rokok berkepul-kepul ke udara.

Imran               : Dah. Awak?

Imran berbohong. Seteguk air pun dia belum sentuh malam ini. Kedengaran dihujung talian Azaliana ada suara seseorang. Kadang tertawa kadang seperti bercakap.

Azaliana           : Dah. Tadi buat nasi goreng je. Hehehehe.
Imran               : Sedapnya. Siapa dekat belakang B tu? Macam ada orang je.
Azaliana           : O…. tu kawan saya merangkap cousin saya, Azie Nadia. Awak nak
                          cakap dengan dia tak? Dia ni sengal sikit.

Azaliana kemudian ketawa kecil dan kemudian mengaduh. Seperti dia sedang dipukul. Mesti sepupunya itu mendengar apa yang diucap Azaliana sebentar tadi. Imran tersenyum di hujung talian. Disedut lagi rokok lalu dehembuskan keluar. Kini dengan agak kuat.

Imran               : Isk…. Ada pula saya nak cakap dengan dia. Buat apa? Tak kenal lah.

Azie Nadia       : Hello, siapa ni?

Imran terkedu. Kedengar satu suara yang mirip dengan Azaliana, namun lenggoknya ada sedikit berbeza. Imran menelan air liur. Nakal benar Azaliana malam ini.

Imran               : Errkk…. Hello, Azaliana mana?
Azie Nadia       : O…. Awek awak tu tengah berangan kejap. Dia cakap awak nak borak-
  borak dengan saya.

Kedengaran tawa Azaliana di hujung talian. Imran mengerutkan dahi. Tidak tahu dia hendak berborak apa dengan gadis itu.

Imran               : Nama awak Azizie nadia ek?
Azie Nadia       : Macam mana awak tahu? Apa lagi yang awak tahu tentang saya?

Imran terkedu lagi. Banyak cakap pula sepupu Azaliana ini. Imran menyedut lagi rokok untuk kesekian kalinya.

Imran               : Ala, sayang saya lah bagi tahu. Siapa lagi. Awak memang duduk rumah
  sewa dengan dia ke?
Azie Nadia       : Tak, duduk lain. Saja datang rumah dia malam ni.
Imran               : selalu selalu lah datang rumah dia ok.

Azie Nadia mengerutkan dahi. Hairan.

Azie Nadia       : Sebab?
Imran               : Boleh awak tengok-tengokkan dia untuk saya.
Suasana sunyi seketika. Imran dapat merasakan perubahan Azie Nadia. Mungkin dia faham dengan maksud kata-kata Imran sebentar tadi. Memang niat Imran agar Azie Nadia faham. Imran juga pasti yang sepupu Azaliana itu tahu akan masalah kesihatannya.

Azie Nadia      : Taknak. Saya sibuk. Hehehehe. Nah, cakap balik dengan kekasih hati
                          awak ni.

Kedengaran gelak tawa kedua gadis tersebut. Imran tersenyum sendiri. Dia tahu Azie Nadia bergurau. Dia pasti Azaliana juga akan baik-baik sahaja.

Azaliana           : Apa la awak ni. Buat apa suruh dia tengokkan saya pula?
Imran               : Saya risaukan awak.
Azaliana           : Saya taka pa-apa lah. Saya ok.

Imran terdiam. Digerakkan sedikit batang rokok dihujung jarinya untuk membuang abu rokok yang semakin panjang.

Imran               : Bila awak nak ke Jordan?
Azaliana           : Maybe dalam hujung tahun ini.
Imran               : Dah tak lama lagi lah kan? Excited?

Azaliana diam seketika. Mungkin mengerti dengan persoalan dingin dari Imran.

Azaliana           : Ntah. Saya tak tahu.

Lama mereka berbual. Hampir habis kredit panggilan Imran, namun dia tidak kisah. Lagi pun dia membuat panggilan untuk orang yang selalu dirinduinya. Tak salah kot.

Imran memandang langit lepas. Dia melihat kerdipan bintang-bintang yang cukup indah, jelas kelihatan tidak seperti malam semalam. Hatinya dihimpit sayu. Bimbangkan kesihatan Azaliana. Dia tahu keceriaan yang dipamerkan lewat kata-kata itu Cuma lakonan semata-mata. Dia tahu Azaliana risau. Dia dapat membaca getar bicara Azaliana yang turun naik. Keceriaan yang dibuat-buat. Ah! Azaliana.

Pandangan Imran beralih kepada bulan. Bulan semakin lama semakin kecil bentuknya. Cuba dia mengingati tarikh hari ini. Dilepaskan nafas perlahan. Tidak disangkanya bulan Ramadhan akan tiba tidak lama lagi. Sungguh cepat waktu berlalu. Seperti tidak sabar-sabar menjadikan usia manusia semakin meningkat usia. Andai masa bisa diputar kembali. Imran menggelengkan kepalanya. Satu keluhan kecil terbit tanda kegusaran.






3 comments:

  1. tak de yg lagi panjang ke..hahahha..bila nak join entri contest tu..hehehe

    ReplyDelete
  2. abg sudir, ni novel la..bersiri :P hehehehhe

    ReplyDelete