Saturday, December 18, 2010

PeRtAmA.....







Imran menghadap buku yang di letakkan di atas meja dengan pandangan yang kosong. Buku rujukan essential of financial management masih tidak mampu menarik perhatiannya. Apa yang difikirkannya hanyalah perkara yang berlaku beberapa bulan yang lepas. Kusut fikirannya mengenangkan perkara yang tidak ada hujung pangkal permasalahan itu. 


“Jangan kau bercinta time study ni Im. Tumpukan study tu dulu. Dah habis study, dapat kerja elok suka hati kau lah nak bercintan-cintun,” nasihat kakaknya ketika dia balik ke kampung sempena cuti pertengahan semester yang lalu. 

Nasihat kakaknya itu ada benarnya. Dia sepatutnya menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran tanpa diganggu oleh persoalan sampingan yang boleh mengundang permasalahan emosi seperti yang dihadapinya kini. Imran agak bimbang semester ini. Dia risau CGPA yang cemerlang semester lepas tidak mampu dikekalkan. Jauh di sudut hatinya mahukan keputusan yang lebih dari semester lepas. 

Imran menutup buku rujukan yang terbuka sejak setengah jam tadi dan bangun mencapai tuala. Dia ingin membersihkan diri sebelum menunaikan solat zuhur. 

“Ya Allah ya Tuhan ku, janganlah kau palingkan hati ku, setelah Engkau tunjuki dan berilah aku dari hadhirat-Mu rahmat  karena Engkau adalah Yang Maha Pemberi. Ya Allah kukuhkanlah aku dari kemungkinan terpelesetnya iman, dan berilah aku petunjuk dari kemungkinan sesat. Ya Allah sebagaimana Engkau telah memberi penghalang antara aku dan hatiku, maka berilah penghalang antaraku  dan antara syaitan serta perbuatannya. Ya Allah aku mohonkan pada-Mu jiwa yang tenang tenteram,  yang percaya pada pertemuan dengan-Mu dan redha atas keputusan-Mu serta merasa cukup puas dengan pemberian-Mu. “ panjang lebar doa yang di pinta oleh Imran bagi memohon ketenangan dari Allah yang Maha Esa.  Selesai menunaikan solat zuhur, ada rasa nyaman menusuk masuk ke dalam hatinya masuk melalui ubun-ubun. Seakan dia hanyut dalam rasa tenang yang sangat menyamankan. 

Imran melihat jam meja biru segi empat miliknya. Jam sudah menunjukkan pukul 1.30 petang. Rakan baiknya Adian masih belum kelihatan. Tadi dia memberikan pesanan ringkas melalui telefon meminta agar Imran menunggunya untuk makan tengah hari bersama. Adian memang rakan baiknya semenjak sekolah menengah lagi. Masuk ke universiti yang sama, sekolah yang sama tetapi jurusan yang berbeza. Selalunya Adian akan datang selewat-lewatnya pukul 1 petang untuk sama-sama makan tengah hari dengan Imran jika tidak ada kuliah. Imran membaringkan diri sementara menunggu rakan baiknya datang. Dengan hanya berkain pelikat, di julurkan kakinya biar tegang. Dia rasa lenguh. Mesti sebab main futsal, bisik hati kecilnya. 

Pintu biliknya diketuk. Imran bingkas bangun namun pintu dibuka sebelum sempat dia sampai ke muka pintu. Berdiri Adian sambil tersengih memegang telefon bimbitnya. 

“Apsal lambat?” Tanya Imran.
“Ala beb, ada hal sikit la tadi. That why la lambat sikit. Kau lapar sangat ka ni?” Adian bertanya serba salah. Dia melangkah masuk tanpa dipelawa dan duduk di tepi katil Imran. Imran segera mengenakan seluar khakis coklat menggantikan kain pelikat yang dipakainya tadi. Dilihatnya wajah licin tanpa jerawat yang sememangnya dikagumi rakan-rakannya. Menurut Jalil salah seorang temannya, jarang lelaki muka licin macam Imran. Imran tersenyum sendiri sambil membelek mukanya di cermin. 

“Amboi. Senyum-senyum pula kau kan. Apa kes?” Adian memerli gelagat Imran yang tersenyum sendiri menghadap mukanya di cermin.

“ Saja senyum melihat keindahan anugerah ilahi ni.” Jawab Imran sambil tergelak kecil.

“uwekkk…. Muntah aku seratus kali beb. Dah la tu, jom makan,” Adian menarik lengan Imran kerana perutnya sudah tidak tahan rasa lapar.
……………………………………………………………………………………………………….
“Apa cerita kau dengan budak Johor hari tu? Ok tak?” Adian bertanya sembil menyedut sisa-sisa air yang berbaki.  Imran mengerutkan dahi menerima soalan rakannya itu. 

“Biasa ja. “ jawab Imran ringkas.
“Mesti ada problem ni kan. Tengok muka kau pun aku tau beb.”

Imran hanya mampu mengangkat bahu. Tidak tahu dia hendak berkata apa lagi. Dia berpura-pura menonton televisyen. Di lihatnya sekeliling kafeteria. Kelihatan hanya beberapa orang sahaja pelajar duduk makan sambil menonton rancangan televisyen. Kafe yang agak luas itu dilengkapi dua buah televisyen 28 inci dengan siaran astro. Di bahagian atas kafeteria terdapat kedai kecil berhawa dingin yang memberikan perkhidmatan Photostat, print-out serta menjual kad top-up. Tertera nama EASYWALK di pintu masuk kedai tersebut. Di sebelah kedai Easywalk terdapat pusat gym mini yang sudah tidak digunakan lagi. Entah apa masalah dengan kedai tersebut Imran pun kurang pasti. Semenjak dia duduk di kolej kediaman ini, kedai tersebut memang terbiar begitu sahaja. Alangkah baiknya jika dia boleh membuka sebuah kedai buku di situ. Pasti laku. 

“Imran, kenapa kau suka couple dengan orang jauh? Nonsense la kau ni,” Adian memulakan lagi perbualan setelah dilihatnya Imran tidak berkata sepatah pun.

“Apa pulak nonsense?” Imran menyoalnya kembali.

“Ya lah. I can’t imagine that you are not even meeting your couple, even once.”

“so, apa yang mengarutnya?” Imran menyoal lagi.

“Ya lah. Kau couple jumpa dalam internet. Itu satu hal beb. Lagi satu, yang kau jadikan couple tu pula duduk nun jauh di seberang laut. Yang ketiganya, dia memang orang sana beb. Habis study, memang dia duduk sana beb.” Adian seakan tidak berpuas hati dengan Imran. 

“Ala, mana tahu rezeki aku duduk sana,” jawab Imran sambil tersenyum meleret. “lagipun ok what this kindda relationship. Maksiat kurang.” Imran tergelak dengan jawapannya sendiri. Adian mengerutkan dahi.

“Banyak la kau. Kurang realistik la perhubungan cinta kau ni. Kalau aku, awek aku study Sarawak tapi dia orang sini beb. Habis study mesti dia akan balik sini juga. Itu baru rialistik,” Adian membuat perbandingan. Imran terdiam mendengar kata-kata rakan baiknya itu. Dia sudah kehabisan kata-kata untuk bersoal jawab dengan Adian. Kalau Adian tahu apa yang telah terjadi, lain pula jadinya. Memang pelik apabila mendengar seorang anak remaja yang menjalinkan hubungan cinta jarak jauh. Apa lagi hubungan cinta itu hadir melalui laman sesawang dan menambahkan pelik ialah kedua-duanya tidak pernah bertemu. Malah, kemungkinan untuk bertemu juga 50/50. 

……………………………………………………………………………

Imran merehatkan diri. Duduk di tepi tingkap yang menghadap blok-blok kolej kediaman yang memanjang. Bilik Imran yang dikongsi dengan tiga orang lagi pelajar memilik dua tingkap yang hanya menyajikan pemandangan blok-blok belakang kolej kediaman. Alangkah baiknya jika biliknya menghadap pemandangan indah masjid atau jalan raya yang dihiasi pepohon yang rendang seperti bilik-bilik di baris hadapan. Pasti hatinya tenang setiap pagi dan petang. 

Matanya sedikit mengantuk. Mungkin akibat kenyang dengan juadah tengah hari. Di tambah lagi dengan santapan kata-kata rakan baiknya Adian memberi  komentar tentang perhubungan cintanya. Imran mengeluarkan rokok jenama Winston jalur biru dari laci meja belajarnya. Dikuisnya sebatang rokok dan menyalakan api. Disedut sekali dan dengan hembusan perlahan asap berkepul-kepul keluar melalui tingkap yang terbuka luas. Matanya yang mengantuk tadi semakin terasa segar. Imran melirik ke arah pintu memastikan pintu terkunci rapat. Dia risau andainya ahli jawatan kuasa kolej menangkapnya sedang merokok. Yang pasti, undang-undang kolej kediaman tidak membenarkan rokok berada di persekitaran kolej. Namun begitu, hamper 80 peratus pelajar lelaki yang merokok menghisap rokok di dalam kolej kediaman termasuk Imran. Susah baginya untuk meninggalkan tabiat merokok yang menjadi rutin semenjak semester pertama berada di universiti. Biasanya bila ada pemeriksaan mengejut dari bilik ke bilik, kelihatanlah beratus-ratus kotak rokok dirampas. Belum lagi pelajar yang membuka perniagaan menjual rokok tiruan. Memang sangat mudah mendapatkan rokok di kolej kediaman universiti ini. Dan Imran yakin perkara sama wujud di universiti yang lain. Imran biasanya akan membeli sekotak rokok sahaja sebagai keperluan, maka apabila pemeriksaan mengejut dibuat rokok akan disimpannya di tempat yang sangat tersembunyi. Tidak pernah seumur hidupnya “kantoi” dengan pihak pengurusan kolej kediaman.

Imran memandang meja belajarnya. Cukup teratur susunan buku yang diletakkan mengikut keutamaan subjek yang ingin ditumpunya sepanjang semester keempat ini. Fikirannya menerawang jauh. Tiba-tiba wajah manis Azaliana Natasya tergambar dalam kotak fikirannya. Gadis kelahiran Batu Pahat yang kini menuntut di Universiti Teknomolgi Mara (UiTM) kampus cawangan Segamat. Dia mengenali gadis ini ketika akhir semester ketiga yang lalu. Perkenalan melalui laman MySpace akhirnya menjadikan pasangan kekasih. Yang lucunya, mereka merupakan pasangan kekasih alam maya. Bertemu melalui laman sesawang, kemudian bercinta memalui mekanisma itu dan hanya berhubung melalui internet ataupun telefon bimbit. Bertemu? Jauh sekali. Jarak Sabah dan Johor ditambah lagi dengan situasi mereka sebagai pelajar memang mustahil untuk bertemu dalam jangka masa yang dekat. 

‘Tak sangka kita couple kan B?’ Imran memanjakan gadis kesayangannya dengan paggilan Baby. Panggilan telefon merupakan jalan paling baik untuk mengubat rindunya pada Azaliana Natasya.

‘Kenapa pula B cakap tak sangka pula?’ Azaliana menyoalnya kembali. Panggilan Hubby diberikan oleh gadis manis itu kepada Imran. 

‘ya lah. Cuba B fikirkan, kita ni jauh. Kenal pun dalam internet. Tak pernah jumpa pula tu, kemudian nak couple bagai. Hehehehehe…. ‘ imran tergelak kecil.

‘InsyaAllah nanti kita jumpa juga. Bukannya jauh pun Johor dengan Sabah. Naik kapal terbang dalam dua jam lebih ja kot.” Azaliana pula berseloroh.

‘takpe, nanti saya berenang ke Johor ek.’ Kedua-duanya ketawa memecah keheningan malam.

Namun itu cerita manis beberapa bulan yang lalu. Kini gadis yang cukup disayaginya itu seakan menyepikan diri darinya. Pesanan ringkas memalui telefon pun jarang dibalas. Kadang-kadang panggilan telefon Imran pun tidak dijawab. Azaliana Natasya ada mengadu mengenai penyakit yang dihidapinya. Penyakit yang berkaitan dengan masalah tulang belakang itu telah lama dihidapinya. Sebulan yang lalu Azaliana dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan kerana penyakitnya itu kembali menyerang. Semenjak peristiwa itu juga dia semakin menyepikan diri. Walaupun perhubungan cintanya ini dianggap nonsense oleh rakan baiknya, namun bagi Imran gadis ini sangat istimewadihatinya. Tidak pernah bertemu bukanlah halangan untuknya merasakan cinta yang mendalam terhadap Azaliana Natasya.

4 comments:

  1. ade imran menjadi mangsa percintaan nye????

    ReplyDelete
  2. Oh Azaliana Natasya.. mengapa kau menyepi hingga terseksa batinku menanti hadirmu? hehehe...

    chaiyok3x... menarik cerita ni..

    ReplyDelete
  3. azalina natasya..amboii sedapnyer nama.

    ReplyDelete